18 April 2009

Kira-Kira 40,000 Sambut Kepulangan Najib Ke Pahang


KUANTAN, 18 April (Bernama) -- Kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pahang hari ini disambut meriah oleh kira-kira 40,000 rakyat negeri itu dalam majlis sambutan yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) di sini, Sabtu.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan pesawat rasmi di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada kira-kira 9 pagi disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, pemimpin Kabinet kelahiran Pahang, pemimpin negeri dan ketua-ketua jabatan.

Najib dan isteri kemudiannya dibawa ke MPK1 untuk majlis rasmi "Sambutan Kepulangan Perdana Menteri" dengan diiringi 56 buah motosikal berkuasa besar sebagai simbolik kepada umur anak kelahiran Kuala Lipis itu.

Ketibaan Perdana Menteri di padang MPK 1 pada 9.20 pagi disambut kira-kira 40,000 orang.

Majlis dimulakan dengan persembahan bertema "Satu Malaysia" yang terdiri daripada gabungan gerak seni pertahanan diri, gerak tari pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli dan keharmonian muzik yang mendukung citra membentuk kesatuan rakyat Malaysia yang mantap dan bersatu. Persembahan itu membabitkan 620 peserta berusia antara 10 hingga 45 tahun.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual menghadiri majlis sambutan kepulangan beliau di Dataran Majlis Daerah Pekan, Pekan dan menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan pada 12 tengah hari.

Ini kepulangan pertama Najib ke negeri Pahang selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April lepas.

Najib dijadual pulang ke ibu negara petang ini.-- BERNAMA

03 April 2009

Najib Angkat Sumpah Perdana Menteri Malaysia Keenam


KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Malaysia hari ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah dengan majlis mengangkat sumpah jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam di sini pagi ini.

Najib, 55, yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu upacara di Istana Negara.

Dengan pengambil alihan jawatan itu, anak sulung kepada Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, akan meneruskan legasi Abdullah untuk membawa negara ke arah kejayaan yang kini dilanda keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Berita mengenai Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri disiarkan secara meluasnya dalam akhbar Malaysia hari ini sementara saluran radio dan televisyen sentiasa memuatkan berita terkini berkaitan detik bersejarah ini.

Para tetamu termasuk menteri-menteri kabinet dan perwakilan asing mula tiba di Istana Negara mulai pukul 9 pagi.

Media termasuk media asing mula berkumpul di luar pintu istana berkenaan seawal pukul 8 pagi untuk melaporkan upacara ini.

Cuaca agak baik dan aliran trafik di bebarapa jalan berhampiran Istana Negara agar lancar.

Menurut atur cara sempena upacara mengangkat sumpat yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, selepas upacara di Istana Negara ini, Najib dijadual ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan menziarah pusara ayah beliau di Makam Pahlawan, di perkarangan masjid itu.

Pada pukul 4 petang, Abdullah dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lewat petang, Najib akan pulang ke kediaman beliau di Jalan Duta di sini untuk majlis tahlil serta doa selamat dan akan ke udara untuk berucap di seluruh negara melalui RTM pada pukul 8.10 malam.

--BERNAMA