27 November 2008

Lipis mula banjir, 31 mangsa dipindah

Petikan Utusan Malaysia 27 November 2008

KUANTAN 26 Nov. - Lipis menjadi daerah pertama dilanda banjir di negeri ini setelah empat kampung di kawasan itu dinaiki air setinggi kira-kira satu setengah meter akibat hujan lebat awal pagi ini.

Berikutan kenaikan paras air bermula pukul 1.35 pagi itu, seramai 31 orang daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selain menumpang di rumah jiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Supritendan Ibrahim Sharif berkata, ia melibatkan 10 mangsa dari Kampung Binjai, Kampung Seberang Jelai (15) serta masing-masing tiga mangsa dari Kampung Beralas dan Kampung Bukit Kota.

''Semua mereka telah pun dipindahkan malam tadi ke stor Jabatan Bekalan Air (JBA) Kampung Beralas, Masjid Seberang Jelai, Balai Raya Bukit Kota dan ada juga yang tinggal sementara di rumah jiran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim bagaimanapun berkata, kampung-kampung terlibat masih belum terputus hubungan darat dan jalan-jalan raya utama masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Jelas beliau, dengan bermulanya banjir di daerah itu, pihaknya akan menempatkan anggota polis di pusat kawalan operasi bencana banjir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi memudahkan urusan membantu mangsa banjir dan orang ramai.

''Melihat kepada cuaca yang mendung hari ini, semua mangsa dijangka masih tidak boleh pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Mengikut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai utama di daerah Lipis iaitu Sungai Jelai kini berada pada paras amaran dengan bacaan 71.13 meter dari aras laut berbanding paras normal 67 meter.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Pahang menjangkakan hujan akan bertambah lebat di kawasan Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh bermula esok hingga Sabtu ini.

Menurut jurucakap jabatan tersebut, keadaan hujan itu boleh mengakibatkan banjir di kawasan-kawasan rendah dan tebing-tebing sungai daerah berkenaan.

Justeru, orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak situasi berbahaya sekiranya banjir melanda kawasan-kawasan terbabit.