29 September 2009

Sepetang Di Kampung Gumum, Tasik Cini

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana ini ialah bahagian kedua daripada lima siri mengenai pembangunan, kehidupan dan pencapaian Orang Asli

PEKAN, 29 Sept (Bernama) -- Sebelum tahun 1960, kebanyakan penduduk kampung Orang Asli Tasek Cini ini tinggal di rumah rakit. Rata-rata kehidupan ketika itu bergantung kepada hasil hutan. Gelap gelita malam pula hanya diterangi pelita damar dan cahaya bulan.

Lebih 40 tahun lepas, mereka mula tinggal di darat, membuat pondok, bercucuk tanam di samping berburu dan mencari hasil hutan.

"Zaman ayah dan tok saya, mereka hidup berakit kerana hutan besar dan banyak binatang buas seperti gajah dan harimau. Kalau tinggal di atas rakit, selamat sikit.

"Ayah saya buat keputusan untuk tinggal di darat sebab banyak barang yang saya jatuhkan ke dalam tasik. Masa itu umur saya antara 12 atau 13 tahun, maklumlah nakal sikit.

"Kadang tu bubuh barang tak menentu, pinggan, pisau, parang. Ayah marah dan kata kita tak boleh hidup begini, kita pindah ke darat," demikian yang dikisahkan Awang bin Alok, 69, Tok Batin Kampung Gumum kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Menurut Tok Batin ini, terdapat 140 keluarga Orang Asli dari suku kaum Jakun dengan jumlah hampir 500 orang mendiami Kampung Gumum dalam Mukim Penyor, jauhnya sekitar 75km dari bandar Diraja Pekan ini.

Luas kawasan kampung pula ialah 405 hektar dan ia terbahagi kepada lima bahagian iaitu Kampung Gumum, Ulu Gumum, Melai, Tanjung Puput dan Cendahan.

ASAL KAMPUNG

Menurut Awang yang telah menjadi Tok Batin Kampung Gumum sejak 1968, nama kampung 'Gumum' mengambil nama 'Seri Gumum', iaitu naga legenda yang dikisahkan mendiami Tasek Cini, tasik semula jadi kedua terbesar di negara ini.

Bapa Awang ialah antara yang pertama berpindah dari rumah rakit dan tinggal di darat.

Pondok yang dibina menggunakan bahan yang diperoleh dari hutan, atap dari daun cucuh sementara dinding dan lantai diperbuat daripada kulit kayu pokok perawan atau kepong.

Untuk menyara hidup, bapa Awang menanam padi, ubi dan jagung serta berburu.

"Awal 1960-an, kawasan sekitar kampung ini masih lagi hutan tebal dan ketika itu hanya ada belasan kelamin sahaja. Lama kelamaan ramai yang datang tetapi mereka tinggal di merata-rata tempat sehingga ke Kuala Sungai Pahang," kata Awang yang fasih berbahasa Melayu seperti lazimnya bagi suku kaum Jakun.

NIKMATI PEMBANGUNAN

Seingat Awang, penduduk Orang Asli Kampung Gumum mula menikmati bantuan kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 1970 dalam bentuk bantuan benih getah dan rumah papan (rumah sebuah) yang dikenali sebagai 'Rumah Melati'.

Bermula 1993, JHEOA mula mendirikan rumah batu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sehingga kini, sebanyak 26 buah rumah sudah dibina. Ada yang dibina bagi menggantikan 'Rumah Melati' yang semakin usang.

Kemudahan prasarana dilaksanakan mulai 1995 dengan penyediaan kemudahan bekalan elektrik. Jalan tar di kampung ini dibina pada 1997 sementara bekalan air paip mula dinikmati penduduk Orang Asli Kampung Gumum pada 2000.

"Kehidupan sekarang agak lain berbanding semasa saya kecil. Sudah ada banyak kemudahan, rumah sudah selesa, bekalan elektrik ada, cuma ada beberapa rumah sahaja belum ada elektrik tapi mereka ada generator.

"Banyak-banyak terima kasih terutama kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Kalau ada orang kata Orang Asli susah, Orang Asli dipinggir, maknanya tak betul," kata Awang.

Dari segi keperluan kesihatan, penduduk kampung yang memerlukan rawatan akan pergi ke klinik di Felda Cini atau ke Hospital Kuantan.

LAGI KEMUDAHAN

Bercakap mengenai kemudahan sekolah untuk anak-anak Kampung Gumum, beliau berkata terdapat sebuah sekolah rendah di kampung itu dikenali sebagai Sekolah Rendah Tasek Cini.

Untuk persekolahan menengah, anak-anak kampung itu meneruskan persekolahan di Pekan dan tinggal di asrama.

Anak-anak ini akan balik ke kampung setiap dua minggu sekali untuk mengurangkan rasa rindu berjauhan dari keluarga.

Awang berkata hampir kesemua murid sekolah rendah menyambung pelajaran ke sekolah menengah.

"Tahun lepas ada dua pelajar dari kampung ini yang berjaya ke universiti," katanya penuh bangga.

Bagi yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran, mereka membuat kerja sendiri termasuk mencari rotan atau Tongkat Ali di hutan, bekerja di kedai atau bekerja secara kontrak mengutip buah-buahan bila musim buah.

"Ada juga yang menangkap ikan. Tidak ada yang malas bekerja. Kalau yang tak bekerja pun tak ramai," jelasnya.

Di samping mata pencarian yang diusahakan, setiap Keluarga Isi Rumah (KIR) kampung itu boleh menarik nafas lega kerana menerima RM500 sebulan sebagai hasil saham daripada ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh JHEOA menerusi Risda di kampung itu.

Bernama difahamkan mereka boleh mendapat pendapatan sekitar RM1,000 sebulan sekiranya mereka bekerja di ladang berkenaan.

Meskipun beliau menyandang jawatan Tok Batin dan sudah menghampiri usia 70 tahun dengan tangan kiri yang lemah, Awang masih tidak duduk diam. Dia masih menoreh getah di kebunnya sendiri yang seluas kira-kira 1.2 hektar.

Kerja menoreh, katanya, dibuat secara berperingkat dan kadang kala dia dibantu isterinya.

Pendapatan kira-kira RM400 sebulan hasil jualan susu getah, katanya, dapat menampung keperluan kewangan keluarga.

NASIHAT DAN HARAPAN

Di sebalik laporan berita anak Orang Asli terlibat dalam gejala sosial termasuk menagih dadah, Tok Batin Kampung Gumum ini menjelaskan setakat ini tidak ada anak buahnya yang terjebak dalam masalah sedemikian.

"Walau macam mana pun saya sentiasa memberi ingat kepada emak bapak jangan lalai menjaga anak-anak mereka. Saya pergi dari rumah ke rumah.

"Kalau nak tunggu mereka datang ke rumah kita payah juga dan kalau hendak panggil pertemuan susah juga kerana kebanyakan mereka keluar bekerja atau pergi memancing jauh dari kampung dan hanya balik lewat petang atau malam," katanya.

Meskipun kehidupan penduduk di Kampung Gumum tidak lagi 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang', tetapi masih ada yang boleh dilakukan untuk memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Memandangkan lokasi kampung ini berhampiran Tasek Cini, ia berpotensi untuk dijadikan sebagai satu destinasi pelancongan.

Tok Batin Awang berharap pihak berkuasa berkenaan akan memulihkan kawasan tasik yang kelihatan agak terbiar mengikut pengamatan penulis sendiri.

Beliau memberitahu bahawa sebelum ini ada pihak yang mengusahakan chalet tetapi ia berhenti operasi beberapa tahun lepas.

"Kalau kawasan tasik sebelah kampung ini diindahkan, ia boleh dijadikan tarikan pelancong. Jalan ke kampung ini pun sudah cantik.

"Mereka boleh naik bot, memancing atau masuk ke dalam hutan. Ini semua boleh menarik orang luar datang ke kampung ini dan bagi peluang pekerjaan untuk penduduk kampung.

"Kita juga boleh tonjolkan industri kraftangan yang ada di kampung ini," kata Tok Batin Awang dengan penuh harapan.

-- BERNAMA

[Berita ini kawan/kah/koi curik dari BERNAMA pada 29 September 2009 sebab orang tak minat nak jadi reporter tanpa gaji kat blog Blogger Pahang nih...hehe. Kalau ada tuh, sudi2 la bagi/kongsi berita yang berupa aktiviti sekitar Pahang Inderapura.]

2 comments:

endiem said...

bagus benarlah jika ada berita berita diblogs ini

Admin said...

menarik tentang Kampung Gumum, saya nak share diblog saya ya :) majlis berbuka puasa akan diadakan pada hujung minggu ini :)